Friday 27 February 2015

      Objektif Rukun Negara
       Rukun Negara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik saintifik, progresif dan bersatu-padu serta bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan.Cita-cita ini akan tercapai apabila objektif Rukun Negara diamalkan oleh setiap rakyat negara ini.

   Mencapai Perpaduan Yang Lebih Erat
  Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunandan kepercayaan masing-masing.Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai–bagai persoalan yang wujud.Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu, di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

   Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik
                      
                     Perlembagaan Negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat asalkan tidak melanggar undang-undang negara.Namun, hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau memusnahkan sistem demokrasi di negara ini.Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan.Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu pihak, jika tidak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.

    Mencipta Satu Masyarakat Yang Adil

           Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara.Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan dengan adil dansaksama. Bagi mencapai tujuan ini, pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhdap yang lain atau pun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

       Membentuk Satu Sikap Yang Liberal
        Masyarakat bebas mengamalkan agama,adat resam dan kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara.Malaysia mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat berlainan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara.

       Membina Sebuah Masyarakat Progresif

  Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.Ini selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi.Dunia kini menyaksikan perubahan dan perkembangan pesat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.Malaysia progresif yang hendak diwujudkan adalah satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Namun kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas dan nilai-nilai keagamaan.


  Prinsip Rukun Negara

    Kepercayaan Kepada Tuhan
   Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan.Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia.Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara.Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

     Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

     Keluhuran Perlembagaan
    Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi.Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak.Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini.Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

     Kedaulatan Undang-Undang     
   Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia.Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan.Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.Tanpa undang-undang,hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil.Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat.Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

   Kesopanan 
  Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang.Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

No comments:

Post a Comment