Friday 27 February 2015

RUKUN NEGARA


   Pengenalan
    Malaysia adalah sebuah Negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Perpaduan Negara adalah matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan.Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan Negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan pergaduhan kaum dan sebagainya.Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
   Melalui perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah. Keharmonian masyarakat serta pembinaan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera , bersatupadu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil masyarakat Malaysia yang cemerlang , gemilang dan terbilang .Rukun Negara adalah satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. 
  Rukun Negara terbentuk ekoran daripada peristiwa 13 Mei 1969 di mana berlaku rusuhan kaum yang mengggugat keamanan dan keutuhan negara ketika kerajaan berparlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan yang bertujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang negara dan memupuk suasana harmoni serta mempercayai dalam kalangan rakyat secara berkekalan. 
Sejarah Pembentukan Rukun Negara
   Kedatangan Inggeris dan dasar imigrasi liberal yang diperkenalkan telah menukar bentuk masyarakat negara ini.Kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan tenaga buruh dari Cina dan India berkerja di lombong dan kawasan bandar.Di bawah dasar pecah dan perintah Kerajaan Kolonial Inggeris, ketiga-tiga kumpulan etnik ini telah dipisahkan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan.Kebanyakan orang Melayu tinggal di desa dan bekerja disektor pertanian, sementara orang Cina tinggal di bandar dan melibatkan diri dalam perniagaan.Orang India pula tinggal dan bekerja di estet-estet, hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di Bandar.Ketiga-tiga kumpulan etnik ini pula dipisahkan dari segi aliran pendidikan dengan mempunyai sekolah aliran masing-masing tanpa sukatan pelajaran atau kurikulum yang sama.Keadaan ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
  Pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa perayaan pemberian taraf Bandaraya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pulau Pangkor (1960),di Bukit Mertajam (1966) dan Pulau Pinang sekali lagi (1967).Peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil–kecilan sahaja.Langkah dan usaha yang serius iaitu peristiwa ini, Kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang lagi.
   Berikutan itu Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-Undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. Anggota–anggota Majlis Perundangan Negara terdiri daripada seorang Pengerusi (Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein merangkap Pengarah MAGERAN), tiga orang menteri(Allahyarham Tun Dr Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Cin dan mendiang Tun V.T. Sambanthan), wakil-wakil Kerajaan Negeri dan wakil-wakil daripada tokoh-tokoh agama,badan-badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil-wakil kumpulan kecil.Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 27 Januari 1970 yang dipengerusikan oleh Pengarah MAGERAN, Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein.Setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan, Majlis Perundingan Negara telah merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan di negara ini.Berasaskan keputusan tersebut , maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh yang di-Pertuan Agong Keempat pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
  Setiap warganegara Malaysia hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan ,kesetiaan kepada Raja dan Negara, kepatuhan kepada Perlembagaan ,Kedaulatan Undang-Undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai Kesopanan dan Kesusilaan.



Sebab Rukun Negara dibentuk
  Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi sedikit terdapat jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu yang menyebabkan rasa tidak puas hati diantara rakyat.Ini menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu.Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya satu formula untuk mengatasi masalah ini. 
  Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum.Dengan itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah mengekalkan semangat cintakan  negara dan memupuk keharmonian kaum.


No comments:

Post a Comment