Saturday 28 February 2015

KESIMPULAN

     Melalui kajian ini kami dapat mengetahui serba sedikit latar belakang Identiti kebangsaan Malaysia ini.Identiti kebangsaan Malaysia adalah ciri atau lambang yang dapat membezakan satu negara dengan negara yang lain.Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, budaya serta kepercayaan yang dianuti.Ciri ini merupakan satu perkara yang menyebabkan Malaysia sebuah yang unik dimana kemerdekaan Malaysia dikongsi bersama dengan kaum lain dengan harmoni.


   Sebagai rakyat Malaysia kami berbangga kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan dapat hidup dibawah satu bumbung walaupun di negara mempunyai bangsa berbilang kaum.Identiti negara dapat memperkukuhkan Pengetahuan, Pemahaman, Penghayatan oleh setiap rakyat Malaysia.Dengan adanya identiti negara ini dapat mengingatkan kepada rakyat Malaysia, perjuangan nenek moyong mereka untuk mendapatkan kemerdekaan negara.  

LAGU NEGARAKU


Latar Belakang Lagu Negaraku
           Lagu Negaraku mempunyai riwayat yang panjang.Menurut Y.A.M Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah, lagu itu mula-mula didengar di Mahe dalam Pulau Seucjelles, di mana ayahanda baginda, Sultan Abdullah, Perak tinggal sebagai orang buangan.Lagu itu sering dimainkan oleh pasukan pancaragam Perancis untuk memberi hiburan kepada orang ramai pada tiap-tiap hari Selasa.Perkara ini berlaku lebih kurang dalam tahun 1892.Raja Chulan, saudara lelaki kepada Y.A.M Raja Aminah pernah mendengar lagu itu sewaktu melawat Pulau Seychelles.Baginda sangat menggemarinya serta mempelajari sendiri lagu itu dan memainkannya dengan biola.Dalam tahun 1895, Sultan Abdullah telah dibenarkan meninggalkan Pulau Seychelles dan pergi ke Singapura.Beberapa tahun sebelum itu, lagu itu telah dipilih menjadi lagu Lagu Kebangsaan bagi Sultan Perak, iaitu dalam tahun 1888.Pada waktu itu, Sultan Idris, Perak telah dijemput oleh Queen Victoria melawat London.Baginda telah diiringi oleh Sir Hugh Low, Residen British di Perak dan juga anakanda baginda, Raja Mansur.
          Apabila sampai di Southampton, seorang wakil Kerajaan British telah menemui Raja Mansur untuk mendapatkan Lagu Kebnagsaan bagi Negeri Perak.Baginda lalu memberikan lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan bagi Perak walaupun sebenarnya pada waktu itu Perak tidak mempunyai Lagu Kebangsaan.Mulai hari itu, negeri Perak telah menetapkan lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan Perak.Lebih kurang dalam masa lawatan Sultan Idris da Raja Mansur ke England, lagu itu telah dikenalkan kepada Wayang-Wayang Bangsawan Indonesia yang mengadakan pertunjukan di Singapura.Lagu itu telah dinamakan Stambul Satu dan bangsawannya pada masa itu ialah Bangsawan Indera Zanibar atau Wayang Kasim.
           Lagu itu sangat digemari ramai sehingga dinyanyikan oleh bangsawan-bangsawan lain.Beberapa tahun kemudian, lagu itu dinamakan ‘Terang Bulan’.Raja Mansur telah beberapa kali mengakui bahawa lagu Negaraku sekarang adalah merupakan lagu yang pernah digemari ramai itu.Ia telah dinyatakan oleh anakanda baginda, Raja Kamarulzaman bin Raja Mansur, cucu kepada Sultan Abdullah.

Sejarah  penggubahan Lagu Negaraku 
             Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri.Walaubagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara.Y.T.M.Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka.
            Beliau mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan.Hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia.Namun demikian tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.
        Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya.Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini.Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada Benjamin Britten, Sir William Walton yang menggubah lagu perbarisan untuk permahkotaan Ratu Elizabeth II, penggubah opera Amerika Gian Carlo Menotti dan Zubir Said.Namun, hasil gubahan mereka juga ditolak.Akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada bagi mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara.
          Setelah mendengar kesemua lagu negeri, Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara.Lagu ini telah popular di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan.Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan.Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

          

BENDERA KEBANGSAAN


 Ciri-ciri Yang Terdapat Dalam Bendera Malaysia: 
  • Mengandungi 14 jalur merah dah putih(melintang) yang sama lebar.
  • Bermula dengan jalur merah disebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah.
  • Tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, KelantaN, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
  • Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
  • Merah : Semangat waja.
  • Putih : Tanda kesucian.
  • Kuning : Warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
  • Biru : Tanda agama isla, agama rasmi bagi Persekutuan.

  

Sejarah Penciptaan Bendera Malaysia
  Berkibar selepas bendera Union Jack diturunkan.Pada 1949,sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu.Majlis Perundangan persekutuan telah mengadakan pertandingan untuk mereka bentuk bendera.Seramai 373 orang pereka telah mengambil bahagian.Majlis Perundangan Persekutuan & akhbar The Malay Mail telah menjemput orang ramai memberikan pendapat tentang reka bentuk tersebut.

   Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah Jawatankuasa telah di tubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu. 

   Satu pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Perseketuan Tanah Melayu yang baru.Pertandingan ini diadakan oleh Majlis 
Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949.Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir.               

   Sejarah tubuhnya Bendera Kebangsaan
   Rekabentuk Ciptaan En.Mohd Hamzah telah terpilih.Beberapa pindaan telah dibuat ke atas bendera tersebut sebelum diluluskan oleh oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950.Pada 19 mei 1950, King George Vi telah memperkenalkan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru.Bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar buat kali pertama pada 26 mei 1950 di perkaranga istana Sultan Selangor, dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George Vi.

                              

                                            

  Asal Usul Bendera
   Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu.Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenalkan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
   Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia.Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Melaysia pada 16 September, 1963.
    Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965,namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Friday 27 February 2015

      Objektif Rukun Negara
       Rukun Negara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik saintifik, progresif dan bersatu-padu serta bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan.Cita-cita ini akan tercapai apabila objektif Rukun Negara diamalkan oleh setiap rakyat negara ini.

   Mencapai Perpaduan Yang Lebih Erat
  Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunandan kepercayaan masing-masing.Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai–bagai persoalan yang wujud.Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu, di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

   Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik
                      
                     Perlembagaan Negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat asalkan tidak melanggar undang-undang negara.Namun, hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau memusnahkan sistem demokrasi di negara ini.Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan.Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu pihak, jika tidak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.

    Mencipta Satu Masyarakat Yang Adil

           Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara.Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan dengan adil dansaksama. Bagi mencapai tujuan ini, pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhdap yang lain atau pun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

       Membentuk Satu Sikap Yang Liberal
        Masyarakat bebas mengamalkan agama,adat resam dan kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara.Malaysia mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat berlainan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara.

       Membina Sebuah Masyarakat Progresif

  Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.Ini selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi.Dunia kini menyaksikan perubahan dan perkembangan pesat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.Malaysia progresif yang hendak diwujudkan adalah satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Namun kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas dan nilai-nilai keagamaan.


  Prinsip Rukun Negara

    Kepercayaan Kepada Tuhan
   Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan.Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia.Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara.Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

     Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

     Keluhuran Perlembagaan
    Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi.Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak.Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini.Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

     Kedaulatan Undang-Undang     
   Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia.Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan.Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.Tanpa undang-undang,hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil.Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat.Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

   Kesopanan 
  Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang.Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

RUKUN NEGARA


   Pengenalan
    Malaysia adalah sebuah Negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Perpaduan Negara adalah matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan.Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan Negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan pergaduhan kaum dan sebagainya.Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
   Melalui perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah. Keharmonian masyarakat serta pembinaan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera , bersatupadu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil masyarakat Malaysia yang cemerlang , gemilang dan terbilang .Rukun Negara adalah satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. 
  Rukun Negara terbentuk ekoran daripada peristiwa 13 Mei 1969 di mana berlaku rusuhan kaum yang mengggugat keamanan dan keutuhan negara ketika kerajaan berparlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan yang bertujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang negara dan memupuk suasana harmoni serta mempercayai dalam kalangan rakyat secara berkekalan. 
Sejarah Pembentukan Rukun Negara
   Kedatangan Inggeris dan dasar imigrasi liberal yang diperkenalkan telah menukar bentuk masyarakat negara ini.Kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan tenaga buruh dari Cina dan India berkerja di lombong dan kawasan bandar.Di bawah dasar pecah dan perintah Kerajaan Kolonial Inggeris, ketiga-tiga kumpulan etnik ini telah dipisahkan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan.Kebanyakan orang Melayu tinggal di desa dan bekerja disektor pertanian, sementara orang Cina tinggal di bandar dan melibatkan diri dalam perniagaan.Orang India pula tinggal dan bekerja di estet-estet, hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di Bandar.Ketiga-tiga kumpulan etnik ini pula dipisahkan dari segi aliran pendidikan dengan mempunyai sekolah aliran masing-masing tanpa sukatan pelajaran atau kurikulum yang sama.Keadaan ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
  Pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa perayaan pemberian taraf Bandaraya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pulau Pangkor (1960),di Bukit Mertajam (1966) dan Pulau Pinang sekali lagi (1967).Peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil–kecilan sahaja.Langkah dan usaha yang serius iaitu peristiwa ini, Kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang lagi.
   Berikutan itu Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-Undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. Anggota–anggota Majlis Perundangan Negara terdiri daripada seorang Pengerusi (Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein merangkap Pengarah MAGERAN), tiga orang menteri(Allahyarham Tun Dr Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Cin dan mendiang Tun V.T. Sambanthan), wakil-wakil Kerajaan Negeri dan wakil-wakil daripada tokoh-tokoh agama,badan-badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil-wakil kumpulan kecil.Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 27 Januari 1970 yang dipengerusikan oleh Pengarah MAGERAN, Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein.Setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan, Majlis Perundingan Negara telah merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan di negara ini.Berasaskan keputusan tersebut , maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh yang di-Pertuan Agong Keempat pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
  Setiap warganegara Malaysia hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan ,kesetiaan kepada Raja dan Negara, kepatuhan kepada Perlembagaan ,Kedaulatan Undang-Undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai Kesopanan dan Kesusilaan.



Sebab Rukun Negara dibentuk
  Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi sedikit terdapat jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu yang menyebabkan rasa tidak puas hati diantara rakyat.Ini menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu.Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya satu formula untuk mengatasi masalah ini. 
  Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum.Dengan itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah mengekalkan semangat cintakan  negara dan memupuk keharmonian kaum.


Tuesday 17 February 2015

PENDAHULUAN

           Indentiti kebangsaan Malaysia adalah lambang atau simbol yang mewakili negara Malaysia, seperti Bendera, Jata, Lagu, Rukun Negara dan Bunga Raya.

      Tanggal 16 September tidaklah sepopular atau se-gah tarikh keramat 31 ogos yang menjadi simbol kemerdekaan negara kita dari penjajahan imperialis British.Pada tarikh ini lewat 50 tahun yang lalu tanah Melayu telah digabungkan dengan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia, yang namanya kekal sehingga ke hari ini.Bermulanya dengan pengumuman penggabungan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961, akhirnya Sabah,Sarawak dan Singapura, yang dahulunya dijajah dimerdekakan di bawah bendera Malaysia.
      Selepas 55 tahun selepas Merdeka, rakyat Malaysia masih belum mencapai kata sepakat tentang identiti negara tercinta ini.Ia bukan sesuatu yang luar biasa.Kebanyakan negara lain, terutamanya yang berbilang kaum dan agama, menghadapi cabaran yang sama.Bagi negara-negara yang mempunyai status berbilang kaum akibat daripada proses penjajahan, cabarannya jauh lebih rumit jika dibandingkan dengan negara-negara yang memperolehi ciri-ciri berbilang kaum melalui penaklukan atau integrasi wilayah mahupun penerimaan pendatang dari luar yang ditentukan oleh elit pribumi negara itu sendiri.
         Nilai-nilai ini boleh dianggap sebagai nilai-nilai yang berpaksikan kepada Kepercayaan pada Tuhan iaitu, prinsip pertama Rukunegara.Dalam sebuah masyarakat dimana lebih daripada 80% penduduknya percaya pada Tuhan, prinsip ini harus diterima sebagai ciri utama identiti bangsa Malaysia. Untuk memastikan bahawa kepercayaan pada Tuhan adalah prinsip identiti yang benar-benar dihayati, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menegakkan keadilan, keihsanan dan kejujuran dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
     
      Perlembagaan, Rukunegara dan Wawasan 2020 yang menjurus ke arah identiti nasional pada hakikatnya termaktub dalam idea 1Malaysia.Ini bermakna bahawa 1Malaysia merupakan intipati identiti Malaysia.